Berita

Tangki SMA Chenor Pecah, Tiga Kenderaan Rosak Teruk

Pena Admin

MARAN, - Guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Chenor, dekat sini, yang hadir untuk bertugas pada sesi pagi terkejut apabila tangki air berkapasiti 30,000 liter pecah dan jatuh lalu menghempap tiga kenderaan, pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 6.15 pagi itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun limpahan air mengakibatkan tiga buah kenderaan milik guru musnah.

Sumber memberitahu NSTP, ketika kejadian, kandungan air dalam tangki setinggi kira-kira 15 meter tidak dapat dipastikan.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Jabatan Pendidikan negeri sedang menyiasat punca kejadian bagi mengenal pasti tangki yang dibina sejak 18 tahun lalu pecah.

"Namun siasatan awal mendapati tangki terbabit mungkin pecah kerana tekanan dan dipercayai terdapat bahagian lembut pada beberapa bahagian tangki fiber itu.

"Kejadian ini tidak mengakibatkan kerosakan pada struktur tiang tangki terbabit," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan, berkata seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan.

"Kita sahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Ustaz Mujibur Rahman, ketika dihubungi, mengesahkan ada melawat ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai tragedi itu.

"Saya terkejut dengan apa yang berlaku tetapi bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya.

Sumber: Berita Harian, 11 Julai 2018

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 116 kali.


Kembali ke Atas