Berita

Popularkan Loghat Pahang yang Unik

Pena Admin

SHAHANIZA SHAMSUDDIN (depan, tiga dari kanan) bersama aktivis loghat Pahang dalam program Geme Loghat Pahang di Maran, baru-baru ini.

MARAN 2 Jan. - Dialek atau loghat Pahang bersendikan aliran arus Sungai Pahang yang menjadi teras ketamadunan Melayu Pahang perlu terus dipopularkan kerana memiliki keindahan intonasi yang unik.

Pengubah lagu rakyat terkenal, Afzamnizam Ismail berkata, loghat Pahang mempunyai nilai komersial tersendiri kerana penutur jati dialek berkenaan berbeza mengikut daerah.

“Menyedari keunikan dialek Pahang, kami menganjurkan ‘Geme Loghat Pahang’ di setiap daerah di negeri ini. Kami menjelajah ke seluruh negeri bagi mempopularkan lagi bahasa daerah di samping mencungkil budaya tradisi tempatan untuk diketengahkan,” katanya selepas majlis ‘Geme Loghat Pahang’ di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempopularkan loghat Pahang ke seluruh negara.

Beliau mahu loghat Pahang turut dikenali sebagaimana loghat Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Malah beberapa perkataan Pahang sudah dikenali masyarakat luar seperti perkataan ‘popalih’, ‘moh la weh’, ‘rodong’ dan ‘kas’. Pahang begitu unik kerana mempunyai loghat paling banyak dan berbeza antara daerah,” katanya.

Menurutnya, medium paling berkesan untuk mempopularkan loghat Pahang adalah melalui lagu yang boleh disiarkan melalui radio dan televisyen selain media sosial.

“Selain loghat, kerajaan nege­ri akan mempopularkan makanan, permainan tradisional serta pakaian tradisi Pahang kepada masyarakat tempatan serta luar,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 02 Januari 2019

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 75 kali.


Kembali ke Atas