Berita

KERAJAAN NEGERI SERAH SURAT TAWARAN RUMAH PRIMA DAN RUMAH MAKMUR KEPADA 115 PENERIMA

Pena Admin

MARAN, 08 FEBRUARI 2020 : Kerajaan Negeri menyerahkan surat tawaran kepada 115 penerima melibat dua projek perumahan iaitu rumah Makmur dan Prima Pahang hari ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan surat tawaran ini yang melibatkan 58 buah rumah Prima dan 57 buah rumah Makmur bagi fasa pertama.

Kesemua rumah ini akan dibangunkan di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, melibatkan tanah seluas 49 hektar dengan rumah jenis berkembar setingkat sebanyak 242 unit dan rumah teres setingkat sebanyak 111 unit.

Harga bagi sebuah rumah Prima adalah RM150,000 sebuah dengan keluasan binaan 1,243 kaki persegi diatas tanah seluas 2,800 kaki persegi.

Bagi rumah Makmur pula harga ditawarkan adalah lebih rendah iaitu RM80,000 sebuah dengan keluasan binaan 810 kaki persegi di atas tanah seluas 1,300 kaki persegi.

Kesemua rumah ini akan dibina dalam tiga fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun dengan pelbagai fasiliti seperti surau, dewan, tadika, lot kedai, hotel serta stesen minyak.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Abd. Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Timbalan Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohamed Jaafar; ADUN Jengka, YB. Encik Shahril Azman Abd. Halim; ADUN Chenor, YB. Encik Mujibur Rahman Ishak; Pegawai Daerah Maran, Encik Sharuddin Jali dan Pengerusi Eksekutif Angsanapuri Development Sdn. Bhd, YH. Dato’ Indera Norzan Ahmad.

Dato’ Sri Wan Rosdy turut berkata Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang sekatan kepada orang ramai untuk membeli rumah Makmur dan rumah Prima walaupun telah memiliki salah satu daripada rumah berkenaan.

Disediakan Oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP).

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 56 kali.


Kembali ke Atas