Berita

Empower ECER Bantu Bangun Modal Insan

Pena Admin

ROHANI ABDUL KARIM (empat dari kanan) bergambar bersama pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Daerah Maran dalam Majlis Konvokesyen dan Juara empower ECER Maran, Pahang, baru-baru ini.

MARAN 17 Jan. - Sebanyak 36,496 penduduk negeri ini menerima latihan akademik, kemahiran dan keusahawanan menerusi program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) anjuran Majlis Pembangunan ECER (ECERDC).

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Zulkifli Ya'acob berkata, statistik terkini itu melibatkan seramai 28,361 peserta latihan akademik manakala selebihnya peserta latihan kemahiran dan keusahawanan.

Katanya, di daerah ini sahaja, seramai 2,020 orang telah mengikuti program Empower ECER sejak 2014 yang mana majoritinya adalah golongan wanita.

“Empower ECER adalah sa­lah satu inisiatif pembangunan modal insan diperkenalkan ECERDC yang terbukti keberkesanannya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar,” katanya selepas majlis Konvokesyen dan Juara Empower ECER Maran yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wa­nita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Nurhidayah Mohd. Shahaimi dan dan Pegawai Pendidikan Daerah, Ahmad Nahran Ishak.

Menurut Zulkifli, kewujudan ECERDC merupakan usaha bersepadu kerajaan melahirkan bina insan berkualiti dari segi pendidikan dan ekonomi rak­yat.

Sementara itu, Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia memuji usaha ECERDC menyediakan program latihan tersebut kepada golongan dewasa dan belia mengganggur sebagai sumber pendapatan.

Kata beliau, tumpuan terhadap bidang latihan kemahiran dalam vokasional adalah tepat kerana mempunyai permintaan tinggi seperti jahitan, masakan dan andaman.

“Usaha ECERDC adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan usahawan berwibawa melalui peruntukan besar kepada program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam Bajet 2018,” katanya.


Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 97 kali.


Kembali ke Atas