Berita

ASPA SUMBANG RM185,000 KEPADA 185 GURU AGAMA SELURUH PAHANG

Pena Admin

MARAN, 08 FEBRUARI 2020 : Seramai 185 guru sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah menerima sumbangan berjumlah RM185,000 daripada Kerajaan Negeri melalui Amanah Saham Pahang (ASPA).

Sumbangan berjumlah RM1,000 setiap seorang itu disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang diberikan kepada guru agama di bawah tajaan ASPA melibatkan 19 buah Sekolah Menengah Agama (SMA) di negeri ini.

Beliau menyampaikan sumbangan tersebut pada Majlis Penyampaian Sumbangan Saguhati Kepada Guru-guru Sekolah Agama JAIP Tajaan Amanah Saham Pahang (ASPA) di Dewan Saidina Ali, Ma’ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau,YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga ADUN Kuala Sentul, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; ADUN Jengka, YB. Encik Shahril Azman Abd. Halim; ADUN Chenor, YB. Encik Mujibur Rahman Ishak; Pegawai Daerah Maran, Encik Sharuddin Jali; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha dan Pengurus Besar ASPA, Haji Mohd. Nazari Yunus.

Antara sekolah yang terlibat adalah SMA Al-Ihsan, Kuantan; Pusat Bahasa; SMA Tengku Ampuan Fatimah, Pekan; SMA Al-Attas, Pekan; Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan; SMA Bukit Ibam, Rompin; SMA Rompin, Rompin; Ma’ahad As-Sultan Ahmad Shah, Maran; SMA Al-Khairiah, Temerloh; serta SMA Al-Wosto, Temerloh.

Selain itu, SMA Maran, Maran; SMA Guai, Bera; SMA Chenor, Maran; SMA Al-Basriah, Jerantut; SMA Pulau Tawar, Jerantut; SMA Dong, Raub; SMA Batu Talam, Raub; SMA Padang Tengku, Lipis dan SMA Pelangai, Bentong turut menerima sumbangan tersebut.

YAB. Dato’ Sri Wan Rosdy turut meluluskan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Ma’ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini.

Secara keseluruhan ASPA telah menaja kesemua 185 guru ini dengan jumlah sebanyak RM3.513 juta setahun iaitu peringkat awal tajaan adalah pada 1993 di SMA Al-Ihsan melibatkan guru kelas aliran sains.

Mengikut rekod, seramai 799 guru di SMA seluruh Pahang tahun ini iaitu dibawah tajaan Kerajaan Negeri/JAIP seramai 432 orang, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (115 orang), ASPA (185 orang), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) (24 orang), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) (12 orang), sekolah (19 orang), dan United Arab Emirates (UAE) (12 orang).

Disediakan Oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP).

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 70 kali.


Kembali ke Atas