Berita

14 Terima Faedah Perkeso

Pena Admin

ISMAIL ABD. MUTTALIB (tiga dari kiri) beramah mesra dengan Lee Peng Lan dan ahli keluarganya dalam majlis penyampaian cek faedah Perkeso kepada 14 penerima sempena Karnival Pekerja Maran 2018 di Dataran Tengku Muda Pahang, Maran, baru-baru ini. Turut sama, Abu Hurairah Ahmad (kiri).

MARAN 30 Jan. - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) me­nyampaikan cek faedah berjumlah RM391,840.31 kepada 14 penerima sempena program Karnival Pekerja Maran 2018 di Arena Tengku Muda Pahang di sini kelmarin.

Pengarah Perkeso negeri, Abu Hurairah Ahmad berkata, bayaran itu melibatkan pampasan kepada pekerja yang hilang upaya kekal, pencen ilat, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat.

Katanya, faedah itu dapat meringankan beban ditanggung oleh penerima akibat kecederaan yang dialami dan juga waris pencarum.

“Diharapkan bayaran yang diterima pencarum dan waris mereka ini dapat membantu khususnya dalam menguruskan perbelanjaan harian,” katanya selepas penyerahan cek faedah itu yang disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib.

Abu Hurairah menggesa setiap warganegara yang bekerja supaya mencarum dengan Perkeso sebagai persediaan masa depan jika ditimpa kemalangan.

Katanya, mana-mana pekerja tidak seharusnya berasa rugi untuk mencarum kerana manfaat yang bakal diterima dapat membantu mereka atau waris mereka.

Sementara itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran mengingatkan majikan mengambil tindakan proaktif mencarum dengan Perkeso bagi melindungi kebajikan pekerja mereka.

Tegasnya, majikan perlu prihatin dengan membuat caruman tersebut bagi menjamin kehidupan pekerja dan waris mereka jika terlibat kemalangan terma­suk semasa berulang alik ke tempat kerja.

Dalam pada itu, Mohd. Iliyyin Mohd Shukri, 26, yang menerima faedah hilang upaya kekal ber­syukur apabila memperoleh pampasan lebih RM75,000.

Menurutnya, dia ditimpa kemalangan ketika bertugas di sebuah syarikat pada 10 Januari tahun lalu dan wang pampasan itu akan disimpan untuk kegunaan pada masa akan datang.


Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 64 kali.


Kembali ke Atas